Breaking News
Loading...
Monday, 24 June 2013



    Perkhidmatan Awam di Malaysia dari segi definisi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan termasuklah perkhidmatan pelajaran, kesihatan, pasukan beruniform seperti angkatan tentera dan juga perkhidmatan awam negeri. Berbagai peranan dan tanggungjawab telah diintegrasikan melalui mekanisma institusi-institusi yang berbeza yang selama ini telah berjaya memenuhi keperluan negara sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Pembahagian fungsi antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan majlis-majlis tempatan telah dapat menyediakan satu sistem pengurusan yang berkesan di mana perkhidmatan-perkhidmatan yang penting telah dapat diberikan. Secara keseluruhannya kakitangan awam dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dinamakan kumpulan sokongan, kumpulan pengurusan dan profesional dan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Dalam mekanisma yang kompleks ini kakitangan sektor awam perlu menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai ‘hamba’ kepada negara (Berkhidmat untuk Negara).

    Matlamat utama sektor awam adalah untuk memenuhi aspirasi negara. Untuk membolehkan agensi sektor awam melaksanakan strategi bagi mencapai matlamat masing-masing, Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai agensi pusat yang mengurus sumber manusia (dalam menjaga kepentingan awam) perlulah memastikan bahawa setiap agensi mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi masing-masing. Pentadbir awam yang menjalankan tugas perlu memastikan bahawa setiap masa mereka komited terhadap prinsip-prinsip iaitu tidak bias pada mana-mana parti politik, piawai etika yang tertinggi, berpegang pada prinsip meritokrasi, responsif kepada kerajaan yang dipilih, kebertanggungjawaban, telus dan urus tadbir yang baik dan komitmen ke atas hasil/output dan prestasi.

    Di sepanjang tahun 80-an dan 90-an perkhidmatan awam mula melaksanakan penerapan nilai-nilai murni di dalam penyampaian perkhidmatan. Dasar dan program khusus seperti Etika Perkhidmatan Awam dan konsep perkhidmatan cemerlang, penerapan nilai-nilai Islam, Bersih, Cekap dan Amanah, Kempen Kepimpinan Melalui Teladan serta Gerakan Budaya Kerja Cemerlang merupakan antara usaha yang dilakukan untuk memastikan etika kerja dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik. Dalam tempoh ini Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan berbagai pekeliling, program, polisi, kempen dan berbagai penerbitan berkaitan,nilai dan etika kerja yang baik untuk dijadikan panduan oleh penjawat awam.

    Kepimpinan merupakan senjata utama untuk memantapkan pengurusan sesebuah organisasi. Dalam konteks pengurusan, seorang ketua yang baik berupaya memaksimumkan penggunaan semua input yang terdapat dalam organisasinya untuk mencapai matlamat yang optimum. Semua input ini termasuklah sumber tenaga manusia, kewangan, kepakaran, premis, peralatan dan sebagainya. Oleh sebab itu, keupayaan dalam memanipulasikan semua input ini menggambarkan keupayaan kepimpinan seseorang ketua. Bagi sesebuah Jabatan Perkhidmatan Awam yang sudah terbina visi, misi dan fungsinya serta ditetapkan sasaran seperti Sasaran Kerja Tahunan, proses memanipulasikan semua input ini bukanlah perkara yang sukar. Hal ini demikian kerana usaha untuk menggunakan semua input ini disokong oleh pelbagai pekeliling kerajaan, arahan perbendaharaan, perintah am, dan pelbagai prosedur pengurusan bagi membantu seseorang ketua dalam perkhidmatan awam mencapai matlamat jabatan. Kewujudan pelbagai prosedur pengurusan ini sebenarnya sangat membantu seseorang ketua menyelesaikan tugas pengurusan jabatannya. Proses memanipulasi input dalam perkhidmatan awam sering menimbulkan konflik dalam jabatan. Secara praktiknya, permasalahan konflik dalaman ini mustahil untuk dielakkan kerana berkait rapat dengan konsep kepuasan bekerja bagi setiap pekerja.
Newer Post
Previous
This is the last post.

0 comments:

Post a Comment