Dasar ekonomi memainkan peranan yang sangat penting kepada setiap negara untuk mencapai setiap matlamat yang diingini. Secara umumnya matlamat ekonomi yang ingin dicapai oleh setiap negara ialah seperti pencapaian tingkat guna tenaga penuh, kestabilan tingkat harga umum, meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki imbangan pembayaran. walau bagaimanapun mencapai matlamat ekonomi dengan sepenuhnya adalah sukar kerana kebanyakan negara di dunia mengamalkan perdangangan antarabangsa dan ekonomi mereka saling berkaitan. Wabak kemelesetan ekonomi yang melanda sesebuah negara akan turut merebak ke negara-negara lain melalui perdagangan antarabangsa.
Akibat daripada kemelesetan ekonomi kepada sesebuah negara adalah seperti pemberhentian pekerja dan pengangguran, kesukaran untuk mengekalkan tingkat harga umum, peningkatan kos sara hidup dan banyak lagi. Lebih melaratkan lagi keadaan apabila berlakunya masalah penggunaan kemudahan kredit yang semakin berleluasa dan masalah kecairan mata wang. Beberapa faktor luaran juga turut menjadi penyumbang seperti peningkatan harga petroleum dan gas dunia.
Matlamat dasar makroekonomi adalah untuk mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif dan semakin meningkat supaya taraf hidup penduduk negara berkenaan semakin meningkat. Manakala kurangan dalam imbangan pembayaran sesebuah negara akan mengurangkan rizab pertukaran asing negara berkenaan. Maka matlamat dasar makroekonomi adalah untuk mewujudkan lebihan dalam imbangan pembayaran supaya akan meningkatkan rizab pertukaran asing.
Di Malaysia, terdapat beberapa dasar yang selalu dilaksanakan dalam membendung dan merawat masalah ekonomi seperti dasar fiskal, dasar kewangan, kawalan langsung dan dasar sebelah penawaran.Dasar fiskal ialah dasar perubahan perbelanjaan kerajaan dan cukai bagi mengatasi inflasi dan kemelesetan ekonomi. Terdapat dua jenis dasar fiskal iaitu pemantap automatik dan dasar budibicara. Pemantap automatik adalah alat kerajaan yang dapat mengecilkan keadaan melambung-meleset ekonomi secara automatik (Lai Mooi Chang, 2001). Terdapat beberapa jenis pemantap automatik iaitu pengenaan cukai, bayaran pindahan kerajaan dan dasar harga maksimum-minimum. Semasa ekonomi melambung, pendapatan masyarakat akan meningkat dan seterusnya permintaan agregat meningkat. Keadaan ini akan menyebabkan tingkat harga umum naik, pengenaan cukai pendapatan akan mengurangkan pendapatan boleh guna masyarakat. Begitu juga dengan bayaran elaun pengangguran (negara-negara maju sahaja yang memberi elaun pengagguran) yang turut dikurangkan. Serentak dengan itu juga dasar harga maksimum akan dilaksanakan bagi menghalang kenaikan tingkat harga melebihi tingkat harga maksimum. Akibatnya, peningkatan permintaan agregat dapat dikurangkan. Keadaan ini dapat mengecilkan kenaikan tingkat harga umum.
Dasar kewangan pula ialah bentuk-bentuk tindakan bank pusat untuk mengubah dan mempengaruhi keadaan ekonomi dengan mengenakan kawalan terhadap bekalan wang dan kadar bunga. Menurut Lai Mooi Chang, kadar bunga boleh dibahagikan kepada dua iaitu dasar kewangan kuantitatif dan dasar kewangan kualitatif. Dasar kewangan kuantitatif ialah langkah-langkah bank pusat mempengaruhi penawaran wang dan kadar bunga manakala dasar kewangan kualitatif ialah langkah-langkah bank pusat mempengaruhi bentuk pinjaman dan pelaburan bank-bank perdagangan.
Bagi mengatasi masalah inflasi diimport, dasar kawalan langsung akan diguna pakai iaitu apabila keadaan pasaran mengalami kenaikan tingkat harga umum akibat daripada kenaikan harga barangan import. Antara mitodologi kawalan langsung ialah melalui pengenaan cukai import, had kuaota iaitu had maksimum jumlah kuatiti barangan import dan banyak lagi.
0 comments:
Post a Comment